Cubaan seludup 207kg metamfetamina dalam mesin gagal

1 month ago 14
ADVERTISE HERE
Kastam menggagalkan cubaan seludup 207kg dadah baru-baru ini, salah satu daripada tiga kes rampasan terbesar di KLIA tahun ini. (Gambar Fail)

SEPANG: Taktik licik penyeludup menyembunyikan 207kg dadah jenis metamfetamina bernilai lebih RM6.6 juta dalam sebuah mesin industri berjaya dikesan kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pada 6 Okt lepas, pemeriksaan harian di terminal kargo KLIA membawa kepada penemuan mesin industri itu dengan dadah disembunyikan dalam ruangan khas.

“Dadah itu dari benua Amerika, dipercayai transit di sini untuk tujuan pengedaran di negara Teluk. Kejayaan ini juga hasil kerjasama kerajaan Arab Saudi dan kastam, yang menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi,” katanya pada sidang media.

Selain itu, kastam turut menemukan 3kg dadah jenis kanabis bernilai hampir RM102,300 di Terminal 1 KLIA pada 10 Okt lepas hasil pemeriksaan ke atas bagasi dua lelaki tempatan yang baru tiba dari negara jiran.

Beliau berkata kedua-dua mereka juga didapati positif dadah jenis metamfetamina dan siasatan awal mendapati kanabis itu cuba dibawa masuk untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Pegawai kastam yang bertugas telah mengesan objek mencurigakan dalam dua bagasi milik penumpang dan menemukan 58 bungkusan plastik lut sinar kedap udara yang mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau. Ia menggunakan plastik kedap udara bagi mengelak bau dikesan.

“Bagasi tersebut juga didaftar masuk menggunakan kaedah bagasi telah diperiksa bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah kes itu masih dalam siasatan.

Selain itu, kastam turut menjumpai plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah jenis metamfetamina dan ketamin seberat 10.12 kg dengan nilai rampasan sekitar RM451,420, pada 6 Okt lepas.

Penemuan itu susulan pemeriksaan ke atas satu kotak yang ditinggalkan dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Beliau menyifatkan ketiga-tiga kes berkenaan sebagai rampasan terbesar di KLIA tahun ini.

Read Entire Article