Dzulkefly imamkan solat jenazah Dr Ainul Baraah

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KOTA BHARU, 13 Sept: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengimamkan solat jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini pada 1.37 tengah hari tadi.

Solat jenazah itu disertai lebih 1,000 jemaah termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Kasuadi Hussin dan ahli keluarga serta sahabat Allahyarham.

Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, berkata pihak keluarga memberi kebenaran kepada Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada Menteri Kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia termasuk saudara-mara serta sahabat kerana sentiasa mendoakan arwah anak,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Dr Ainul Baraah dari Miri, Sarawak tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada 11.21 pagi.

Dr Ainul Baraah, 33, antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.

Nahas turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40. – TVS

Read Entire Article