ADVERTISE HERE
KOTA KINABALU, 27 Sept: Empat lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan di Jalan Sepanggar, berhampiran Taman Jaya Diri di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva dikatakan bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pemandu berusia 23 tahun terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori Isuzu NPR serta sebuah lagi kereta Perodua Aruz.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, susulan kejadian itu, lori terlibat terdorong ke hadapan dan melanggar dua lagi kenderaan iaitu sebuah van Nissan Urvan dan Proton X50.
Katanya, akibat kejadian itu, semua mangsa maut yang berusia lingkungan 20-an dilaporkan tersepit di dalam kenderaan malang berkenaan.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas.
“Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Syed Lot meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston di talian 016-3130153 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – TVS

3 hours ago
6








English (US) ·