ADVERTISE HERE
MIRI, 27 Sept: Sarawak Literature Festival 2026 dilihat membuka ruang lebih luas untuk Miri membina ekosistem sastera dan bergerak ke arah sebuah bandar sastera.
Pensyarah Kanan Politeknik Kuching Sarawak, Jacquelyne Ekot, berkata penganjuran festival itu memberi peluang kepada penulis dan pengkarya daripada pelbagai latar untuk berkongsi karya, kajian serta seni yang mencerminkan kepelbagaian etnik di Sarawak.
“Tidak dinafikan Miri boleh kita jadikan sebagai salah satu bandar sastera pada masa hadapan. Festival kali ini mengumpulkan pengkarya daripada pelbagai bidang dan bakat, termasuk penulis muda serta yang berpengalaman.
“Apabila pakar-pakar dan pengkarya berkumpul, ditambah dengan hasil karya serta sesi perbincangan yang diadakan, sedikit sebanyak ia membuka peluang untuk Miri diiktiraf sebagai bandar sastera,” katanya ketika ditemui TVS di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.
Tambahnya, festival berkenaan turut penting dalam mengetengahkan karya dan dokumentasi berkaitan etnik yang kurang mendapat ruang sebelum ini.
“Saya sendiri melihat platform seperti ini sebagai peluang untuk memperkenalkan warisan etnik minoriti seperti Kejaman kepada khalayak lebih luas, termasuk menerusi penerbitan buku yang dihasilkan saya bersama Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Amee Joan. iaitu The Kejaman Language Dictionary,” tambahnya.
Sementara itu, Editor Jurnal SVARA, Hafiz Hamzah, berkata usaha menjadikan Miri sebagai bandar sastera memerlukan lebih daripada sekadar penganjuran festival atau usaha melahirkan penulis baharu.
Sebaliknya, katanya, satu ekosistem yang lebih menyeluruh perlu dibina dengan melibatkan penerbit, pembaca dan masyarakat umum supaya sastera tidak dilihat sebagai sesuatu yang hanya dekat dengan kelompok tertentu.
“Bagi saya, ia boleh. Cuma perlu ada usaha yang disusun ke arah itu. Bukan hanya tentang melahirkan penulis, tetapi lebih penting ialah mewujudkan satu ekosistem yang lebih luas.
“Contohnya penerbit, khalayak pembaca dan penglibatan dengan masyarakat umum. Selalunya sastera dilihat sebagai sesuatu yang terasing atau terlalu elit, sedangkan masyarakat umum juga perlu diberi ruang untuk bersinggungan dengan sastera,” katanya.
Hafiz turut menyifatkan penganjuran sulung Sarawak Literature Festival sebagai satu usaha yang baik, namun menyarankan agar festival itu diteruskan sebagai acara tahunan dengan pengisian yang terus dipertingkatkan.
Katanya, jaringan festival juga wajar diperluas dengan melibatkan penulis dari Sarawak, serantau dan antarabangsa bagi mewujudkan lebih banyak interaksi serta perkongsian pengalaman.
Sarawak Literature Festival 2026 yang berlangsung sejak 23 September lalu di Stadium Tertutup Miri, Pustaka Negeri Sarawak Miri dan Miri Handicraft Centre melabuhkan tirai hari ini.
Penganjuran sulung festival itu menghimpunkan pelbagai program berkaitan sastera, penulisan, penerbitan, budaya dan warisan, selain menjadi ruang pertemuan antara penulis, penggiat industri dan masyarakat. – TVS

27 minutes ago
1







English (US) ·