ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 27 Sept: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau akan bermesyuarat dengan 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang membentuk kerajaan malam ini bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut pentadbiran negeri itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan berkenaan akan melibatkan ADUN Barisan Nasional (BN), PAS serta parti lain dalam kerajaan negeri bagi menyelaras langkah seterusnya susulan penamatan tempoh 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Pada mesyuarat malam ini, saya tidak berhajat untuk campur tangan tetapi untuk mencari jalan terbaik bagi penyelesaian terhadap kemelut yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas kemungkinan pelantikan Exco baharu, Ahmad Zahid berkata perkara itu antara yang akan dibincangkan malam ini, dengan pandangan kesemua 25 ADUN akan didengar bagi menentukan pilihan terbaik.
Menurutnya, penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta peraturan sedia ada.
Beliau berkata mandat turut diberikan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin dan pihak berkaitan dalam institusi adat negeri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpandangan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Negeri Sembilan memandangkan keamanan di negeri berkenaan masih terkawal.
Katanya, masih terdapat pilihan lain yang lebih baik bagi menyelesaikan kemelut berkenaan tanpa perlu menuju ke arah pengisytiharan darurat atau penubuhan majlis darurat.
Sebelum ini, pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka. – TVS

21 minutes ago
3







English (US) ·