Tahanan rumah Najib: Kutipan derma cecah RM9.25 juta setakat 10 pagi tadi

11 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Kutipan dana bagi membantu Datuk Seri Najib Tun Razak memenuhi bayaran denda RM50 juta susulan pengampunan bersyarat diterimanya mencecah RM9.25 juta setakat jam 10 pagi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan jumlah kutipan menerusi crowdfunding bagi mencapai jumlah ditetapkan.

“Setakat jam 10 pagi hari ini, masih belum mencukupi untuk kita mencapai RM50 juta.

“Usaha sedang dilakukan, kita harap rakan-rakan akan dapat membantu sebelum penahanan di rumah itu dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan baki hukumannya dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Pada 25 September, peguam bela dan peguamcara Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas Perdana Menteri itu tidak mampu menyediakan sendiri jumlah berkenaan susulan pembekuan beberapa akaun bank miliknya.

Muhammad Shafee turut menjelaskan Najib tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi membayar denda berkenaan, sebaliknya kutipan itu dimulakan pihak lain.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International.

Hukuman asal penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kemudiannya dikurangkan kepada penjara enam tahun serta denda RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024. -TVS

Read Entire Article