EPU Sarawak kaji sistem pengurusan sisa untuk jana tenaga – Abang Johari

5 months ago 42
ADVERTISE HERE

KUCHING: Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak akan menjalankan kajian mengenai sistem pengurusan sisa baharu yang menggabungkan penjanaan tenaga dan melibatkan pengumpulan mengikut zon yang dilengkapi insinerator berteknologi tinggi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sistem ini akan menjadi penyelesaian jangka panjang untuk menguruskan sisa di kawasan berpenduduk di negeri ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta mengubah sisa tersebut menjadi penjana tenaga.

“Saya berhasrat agar EPU (Negeri) meneliti kemungkinan untuk menggunakan insinerator bagi menguruskan sisa kita, dan pada masa sama mengubah sisa tersebut menjadi tenaga. Ini memerlukan pelaburan yang besar, tetapi saya telah mencadangkan kepada mereka untuk membahagikan Sarawak kepada beberapa zon kerana mesti ada skala ekonomi dari segi jumlah sisa dan untuk menguruskan sisa ini secara mampan,“ katanya.

Bercakap semasa merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-36 Hari Bandaraya Kuching di sini hari ini, beliau mencadangkan agar Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, dan Betong diletakkan di bawah satu zon dengan satu insinerator berpusat yang akan dibina.

“Bahagian-bahagian lain, kita akan mewujudkan satu lagi pusat untuk mengumpul sisa dari Sibu hingga ke Limbang, dan kita perlu mengenal pasti satu lokasi untuk membina insinerator berteknologi tinggi,“ katanya.

Abang Johari berkata bahawa terdapat teknologi sedia ada yang boleh digunakan oleh Sarawak untuk menguruskan sisa yang boleh diubah menjadi bahan mentah bagi menghasilkan produk lain, selain menjana tenaga daripada sisa tersebut yang boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti ekonomi lain.

“Ia telah dilakukan di negara-negara lain, dan pelaburan awal mungkin tinggi, tetapi itu biarkan saya uruskan dan kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk mendapatkan dana. Kami mahu Sarawak menjadi negeri yang maju dan mesra alam,“ katanya.

Bercakap kepada wartawan selepas acara tersebut, beliau berkata Sarawak merancang untuk mengadaptasi model yang digunakan di Sweden dalam pelaksanaan sistem pengurusan sisa baharu kerana populasi dan keadaan di negara Scandinavia itu hampir serupa dengan Sarawak.

Menurut beliau, EPU Sarawak telah diberikan tempoh sehingga suku pertama tahun depan untuk menyiapkan kajian sebelum melaksanakan sistem baharu menjelang 2026.

“Sekurang-kurangnya, jika 50 peratus daripada sisa dapat dipulihkan, pelaburan akan dapat kembali,“ katanya sambil menambah bahawa kajian tersebut akan menentukan kos sebenar untuk melaksanakan sistem baharu itu.

Read Entire Article