ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 27 Sept: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada penumpang susulan gangguan sistem semboyan antara Kalumpang dan Kuala Kubu Bharu semalam yang menyebabkan kelewatan lebih lima jam bagi perkhidmatan train elektrik (ETS).
Menurut KTMB, kelewatan tertinggi bagi perkhidmatan ETS melibatkan tren EP9138 dari KL Sentral ke Butterworth selama lima jam lima minit, manakala KTM Komuter tren No. 2389 merekodkan kelewatan selama tiga jam 50 minit.
“Pemeriksaan awal mendapati gangguan berpunca daripada kerosakan salah satu komponen sistem yang menyebabkan percikan sebelum menjejaskan sistem semboyan,” menurut kenyataan KTMB hari ini.
Bagaimanapun, punca kerosakan komponen berkenaan masih dalam siasatan lanjut, manakala pasukan teknikal KTMB digerakkan ke lokasi untuk menjalankan kerja baik pulih.
Gangguan itu turut memberikan kesan berantai terhadap pergerakan dan jadual perjalanan tren lain yang melalui sektor berkenaan, khususnya perkhidmatan dari dan ke arah Utara.
Pada masa sama, kerja naik taraf Landasan Berkembar Rawang-Ipoh yang telah dijadualkan lebih awal turut dilaksanakan secara berperingkat, termasuk di laluan Kalumpang pada 26 dan 27 September.
Menurut KTMB, gangguan sistem semboyan yang berlaku ketika kerja berkenaan sedang dilaksanakan menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih terhad, sekali gus mengakibatkan kelewatan kepada beberapa perkhidmatan KTM Komuter dan ETS.
“Kerja pemulihan selesai pada jam 5.15 pagi tadi, manakala tren Komuter pertama dari Tanjung Malim berlepas pada jam 5.45 pagi,” menurut kenyataan itu.
Operasi KTM Komuter dan ETS kini kembali seperti biasa, namun masih terdapat kelewatan sekitar 30 minit daripada jadual asal susulan kerosakan sistem semboyan di laluan Batang Kali.
Bagi menjaga kebajikan penumpang yang terjejas, KTMB turut mengedarkan makanan dan minuman kepada penumpang di dalam tren yang mengalami kelewatan, selain menghantar notifikasi SMS mengenai gangguan dan kelewatan perjalanan.
“Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat gangguan berkenaan pula diberikan pemulangan tambang penuh tertakluk kepada prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.
KTMB berkata pihaknya akan terus meneliti punca kejadian serta langkah penambahbaikan bersesuaian bagi mengurangkan risiko gangguan seumpama itu berulang. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·