Fahmi: Kenaikan elaun pengurus, penolong pengurus pedi jadi pembakar semangat

11 months ago 84
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA: Kenaikan elaun pengurus dan penolong pengurus Pusat Digital Ekonomi (PEDi) sebanyak RM500 bermula Januari tahun depan adalah wajar dan dapat memberi semangat dan motivasi untuk mereka bergerak lebih maju, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar).

Beliau berkata kenaikan elaun yang dilaksanakan selepas 10 tahun itu memberi signifikan kepada usaha kerja keras pengurus dan penolong pengurus PEDi selama ini.

“Saya rasa ini satu hari yang cukup gembira untuk semua pengurus dan penolong pengurus PEDi. Ini satu perkara yang telah diperjuang agak lama dan alhamdulillah, hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan dan peningkatannya yang sangat signifikan.

“Saya lihat ada kewajaran terutama kita lihat ramai daripada pengurus ini, mereka kerja keras dan saya rasa mereka layak, ia juga untuk motivasi mereka,” katanya ketika ditemui Bernama selepas perasmian Persidangan PEDi MADANI 2023, di sini hari ini.

Anwar semasa berucap merasmikan Persidangan PEDi MADANI 2023 itu mengumumkan bermula Januari 2024, elaun pengurus PEDi dinaikkan kepada RM2,500 daripada RM2,000 manakala elaun penolong pengurus pula dinaikkan kepada RM2,000 berbanding RM1,500 sekarang.

“Jadi sama-sama kita usaha untuk tingkatkan penyertaan komuniti setempat dalam ekonomi digital,” kata Fahmi yang berharap kenaikan elaun itu dapat meningkatkan produktiviti seperti yang diinginkan perdana menteri.

Pengurus PEDi Presint 9, Fasa 3, di sini Sarahhaziqah Usoldin berkata kenaikan elaun itu bukan sahaja dapat membantu meringankan kos sara hidup, malah ia juga pembakar semangat beliau dan juga rakan-rakan untuk bekerja lebih keras membantu masyarakat setempat dalam bidang ekonomi digital.

“Kos sara hidup sekarang ni dah tinggi, jadi kenaikan elaun membuatkan kami lebih bersemangat dalam memberi perkhidmatan kepada komuniti setempat,” katanya yang berharap kerajaan dapat menyediakan kursus untuk pengendali PEDi berkenaan aplikasi dan teknologi terkini untuk lebih cakna.

Bagi Pengurus PEDi Krokong, Sarawak Brodie Anak Job, kenaikan elaun itu membukti kerajaan menghargai usaha beliau dan rakan-rakan dalam membantu masyarakat setempat celik Internet.

“Perasaan saya sangat gembira sebab tak sia-sia apa yang kami buat, usaha kami membantu komuniti, kiranya kenaikan elaun ini menjadi penanda aras untuk kami kena buat kerja lebih banyak supaya kenaikan itu berbaloi.

“Kenaikan elaun ini juga sebagai satu pembakar semangat yang boleh buat kami lebih giat membantu komuniti di sekitar PEDi dan masyarakat,” katanya. -Bernama

Read Entire Article