ADVERTISE HERE
SONG, 14 Sept: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan Ulu Sebuloh, Nanga Temalat memasuki hari kelima semalam, namun mangsa masih belum ditemui.
Mangsa, Freddie aManggie, 51, dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan bersama abang iparnya kira-kira jam 7 pagi, 8 September lalu untuk mencari daun sabung.
Menurut laporan polis, kira-kira jam 4 petang, mangsa mengadu sakit perut sebelum meminta izin untuk mencari tempat membuang air besar.
Bagaimanapun, selepas menunggu lebih dua jam, abang iparnya mula mencari dan memanggil mangsa di sekitar kawasan berkenaan, namun gagal menemuinya.
Abang iparnya kemudian pulang ke rumah panjang kira-kira jam 6 petang untuk memaklumkan kejadian kepada penduduk.
Usaha mencari mangsa diteruskan penduduk pada keesokan pagi sebelum operasi SAR rasmi dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi semalam bermula pada jam 8.30 pagi selepas taklimat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bomba.
Pasukan SAR berjaya sampai ke Checkpoint 1 pada jam 11.30 pagi dan Checkpoint 2 pada jam 12 tengah hari sebelum meneruskan pencarian di kawasan berkenaan.
“Pasukan mencari dan menyelamat kembali ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) pada jam 4.10 petang sebelum taklimat daripada Ketua Polis Daerah (KPD) Song dan pihak Bomba Song pada jam 4.40 petang.
“Operasi SAR hari kelima ditangguhkan pada jam 6 petang atas arahan Komander Operasi, KPD Song, dan akan disambung semula hari ini,” menurut kenyataan itu.
Seramai 24 anggota dan penduduk kampung terlibat dalam operasi berkenaan, terdiri daripada sembilan anggota Bomba, enam anggota PDRM, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta empat penduduk kampung.
Operasi turut menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·