ADVERTISE HERE
LIMBANG, 14 September: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Hanifah Hajar Taib meneruskan Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri 4 di Bahagian Limbang, semalam.
Ketibaan beliau menyaksikan rombongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) meneruskan agenda jelajah bagi meninjau keadaan serta keperluan fasiliti kesihatan di bahagian berkenaan.
Hanifah turut menghadiri majlis makan malam anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Limbang sempena keberadaan rombongan KKM dan JKNS di Limbang.
Majlis berkenaan menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara kepimpinan tertinggi KKM dengan warga kesihatan di lapangan, selain menghargai komitmen mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan terus disampaikan dengan berkesan kepada rakyat.
Sepanjang JKB Siri 4 di Bahagian Limbang, Hanifah dijadualkan menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Lawas selain mengadakan lawatan kerja ke beberapa fasiliti kesihatan.
Antara fasiliti yang bakal dilawati ialah Klinik Kesihatan (KK) Trusan, KK Lawas dan KK Nanga Medamit.
Beliau turut dijadualkan meninjau cadangan tapak baharu bagi pembinaan KK Nanga Medamit sebagai sebahagian daripada agenda lawatan kerja berkenaan.
JKB yang diilhamkan Hanifah menjadi platform penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan fasiliti kesihatan serta mendengar sendiri cabaran yang dihadapi warga kesihatan di lapangan.
Pendekatan itu turut membolehkan KKM, JKNS dan pihak berkaitan mengenal pasti keperluan serta merangka penyelesaian yang segera, praktikal dan mampan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus memenuhi keperluan rakyat.-TVS

1 hour ago
3








English (US) ·