ADVERTISE HERE
MARUDI, 14 Sept: Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah jentolak dalam kejadian di Long Seridan semalam.
Mangsa, Mancha Lingan, 40, disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 petang.
Bagaimanapun, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi hanya tiba di lokasi pada jam 9.49 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 261 kilometer.
“Perjalanan mengambil masa panjang berikutan faktor geografi dan keadaan jalan balak yang licin serta berlubang.
“Pasukan turut perlu menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan darat kira-kira empat kilometer ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati mangsa tersepit di bawah jentolak.
Komander Operasi, PBK I Erec Unyi kemudian mengarahkan anggota menyediakan peralatan menyelamat termasuk Power Unit Rescue Tools dan dua unit beg udara (airbag).
Cubaan awal untuk mengeluarkan mangsa berdepan kesukaran berikutan kedudukannya yang tersangkut di bawah jentolak.
Operasi kemudiannya diteruskan dengan bantuan Polis Bantuan serta mekanik sebuah syarikat.
Mekanik berkenaan membuka dan memotong rantai roda jentolak menggunakan pemotong gas oksigen bagi memudahkan proses mengeluarkan mangsa.
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis bantuan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat pada jam 11.22 malam dengan kekuatan empat anggota BBP Marudi menggunakan sebuah kenderaan utiliti.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·