ADVERTISE HERE
BAKU, 27 Sept: George Russell kembali menghidupkan peluang dalam perebutan kejuaraan dunia selepas mengekang Max Verstappen untuk memenangi Grand Prix (GP) Azerbaijan yang mendebarkan pada Sabtu dengan kelebihan hanya satu persepuluh saat, manakala pencabar kejuaraan Kimi Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat kelima, lapor PA Media/dpa.
Russell sebelum ini hampir mengakui peluangnya semakin tipis selepas perlumbaan terakhir di Madrid apabila Antonelli meraih kemenangan kelapannya tahun ini untuk melebarkan kelebihan dalam perebutan kejuaraan kepada 81 mata.
Namun, pelumba Britain itu mempamerkan prestasi cemerlang di litar jalan raya Baku apabila meraih petak utama sebelum berjaya mempertahankan kedudukannya meskipun perlumbaan menyaksikan kereta keselamatan dikerahkan dua kali dan Verstappen memberi tekanan pada penghujung perlumbaan.
Russell akhirnya meraih kemenangan ketiganya musim ini dan yang pertama sejak GP Austria, 90 hari lepas.
Kemenangan itu menyaksikan Russell merapatkan jurang dengan Antonelli dalam perebutan kejuaraan kepada 66 mata, dengan 208 mata masih menjadi rebutan dalam baki lapan perlumbaan yang dijadualkan.
Antonelli berjaya mengehadkan kerugian selepas kemalangan ketika sesi kelayakan menyaksikan beliau bermula di petak ke-16. Antonelli sudah berada dalam kelompok yang meraih mata menjelang pusingan ke-16.
Kemalangan Alex Albon pada pusingan ke-31 menyebabkan kereta keselamatan dikerahkan, sekali gus memberi kelebihan kepada Antonelli apabila jurangnya dengan kelompok pelumba di hadapan semakin mengecil.
Antonelli seketika ketinggalan di belakang Lando Norris ke kedudukan kesembilan ketika perlumbaan dimulakan semula buat kali pertama, namun naik dua anak tangga selepas Franco Colapinto menyebabkan rakan sepasukan Alpine, Pierre Gasly dan Norris tersingkir menerusi satu gerakan agresif.
Antonelli kemudian mudah memintas Lewis Hamilton untuk menduduki tempat kelima ketika berbaki sembilan pusingan. Isack Hadjar melengkapkan dua kedudukan podium buat Red Bull selepas menduduki tempat ketiga, satu anak tangga di hadapan Charles Leclerc, manakala Hamilton terpaksa berpuas hati di tempat keenam. – TVS

7 hours ago
7








English (US) ·