Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban terima RM95,000 daripada UNIFOR

2 hours ago 4
ADVERTISE HERE

MIRI, 20 Sept: Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban menerima peruntukan RM95,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi pembelian kelengkapan gereja serta menyokong keperluan aktiviti komuniti.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong keperluan komuniti keagamaan tanpa mengira latar belakang agama.

“Peruntukan RM95,000 ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membeli kelengkapan yang diperlukan gereja serta menyokong aktiviti komuniti.

“Kita amat bertuah tinggal di Sarawak kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan komuniti pelbagai agama melalui UNIFOR,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan Cek UNIFOR di Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban, Jalan Desa Murni, Permyjaya, di sini, hari ini.

Katanya, pendekatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memastikan kebebasan beragama serta keharmonian antara masyarakat pelbagai agama terus dipelihara.

Kepelbagaian agama, kaum dan budaya menurutnya merupakan antara keistimewaan Sarawak yang perlu terus dihargai dan dipertahankan.

“Di Sarawak, kita mempunyai pelbagai agama, kaum dan budaya, namun kita boleh hidup bersama dengan saling menghormati. Inilah nilai perpaduan yang perlu kita jaga.

“Tidak kira bangsa atau agama, kita semua ialah anak Sarawak. Sebab itu kita perlu bersama-sama menjaga keharmonian dan Sarawak yang kita cintai ini,” tambahnya.

Katanya bantuan melalui UNIFOR turut membolehkan komuniti agama meningkatkan kemudahan serta menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada anggota masing-masing.

Beliau berharap peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban, khususnya dalam memenuhi keperluan kelengkapan dan aktiviti gereja.

“Saya berharap sumbangan ini benar-benar memberi manfaat kepada Gereja BEM Permyjaya Bahasa Iban dan komuniti di sini, terutama dalam melaksanakan aktiviti serta menyediakan kemudahan yang diperlukan,” katanya. – TVS

Read Entire Article