Inflasi malaysia turun kepada 1.8 peratus pada September - Perangkaan

4 hours ago 3
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia bagi September 2024 telah turun kepada 1.8 peratus daripada 1.9 peratus pada Ogos tahun ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September 2024 meningkat kepada 133.2 berbanding 130.8 dalam tempoh sama tahun lepas.

DoSM dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata kenaikan itu disebabkan peningkatan dalam kategori utama termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang menyaksikan lonjakan sebanyak 3.1 peratus.

Ini diikuti oleh pengangkutan pada (1.1 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (0.8 peratus), perabot, kelengkapan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.6 peratus) manakala maklumat dan komunikasi (0.4 peratus).

Sementara itu pakaian dan kasut kekal dalam jajaran negatif pada -0.3 peratus.

DoSM melaporkan bahawa kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, meningkat 1.6 peratus pada September 2024, kadar sama dicatatkan pada Ogos.

Dalam kumpulan ini, subkumpulan utama makanan di rumah meningkat sebanyak 0.4 peratus, didorong oleh inflasi dalam perbelanjaan daging, menokok sebanyak 0.7 peratus (Ogos 2024: -0.7 peratus).

Ayam, komponen terbesar (32.6 peratus) dalam kelas perbelanjaan daging, mencatatkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus (Ogos 2024: -2.2 peratus).

Menurut data DoSM, harga purata ayam standard di Malaysia bagi September 2024 ialah RM10.47 sekilogram, naik daripada RM10.01 sekilogram pada September 2023 (Ogos 2024: RM10.15).

“Sementara itu, harga purata ayam standard di Semenanjung Malaysia bagi September 2024 ialah RM9.38 sekilogram, berbanding RM9.28 sekilogram pada September 2023 (Ogos 2024: RM9.27),” kata jabatan itu dalam laporan IHP bagi September 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kebanyakan negeri mencatatkan kadar inflasi di bawah paras nasional 1.8 peratus kecuali Pulau Pinang (3.1 peratus), Pahang (2.7 peratus), Sarawak (2.3 peratus) dan Selangor (2.3 peratus).

“Semua negeri mencatatkan kenaikan inflasi makanan dan minuman dengan Selangor mencatatkan kadar tertinggi pada 2.8 peratus diikuti Pahang pada 2.2 peratus, Pulau Pinang pada 2.0 peratus dan Sarawak pada 1.6 peratus,” katanya.

Inflasi bagi suku ketiga 2024 kekal stabil pada 1.9 peratus, sama seperti direkodkan pada dengan suku kedua 2024.

Bagi suku tahun ke suku tahun, inflasi Malaysia meningkat sebanyak 0.4 peratus (suku kedua 2024: 0.6 peratus).

Dalam pada itu, inflasi teras meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 1.8 peratus pada September 2024 (Ogos 2024: 1.9 peratus), didorong oleh peningkatan dalam perkhidmatan restoran dan penginapan (3.2 peratus), penjagaan diri, perlindungan sosial, barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus) serta makanan dan minuman (2.3 peratus).

Sebagai perbandingan, DoSM berkata inflasi Malaysia lebih rendah daripada di Vietnam (2.6 peratus) dan Filipina (1.9 peratus), bagaimanapun lebih tinggi daripada di Korea Selatan (1.6 peratus), Thailand (0.6 peratus), dan China (0.4 peratus).

Read Entire Article