JBPM terima RM1.092 bilion laksana 70 projek, bantu kurangkan masa respons nasional

11 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM1.092 bilion kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pelaksanaan 70 projek di bawah agensi itu dalam Rancangan Boleh Pinda Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu meliputi pelaksanaan 22 projek baharu berjumlah RM391 juta dan 48 projek sambungan berjumlah RM701 juta.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan antara lain bagi mengurangkan masa respons nasional terhadap panggilan kecemasan yang menjadi objektif utama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM.

“Menerusi peruntukan itu enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina dengan kos RM 66.8 juta iaitu BBP Desa Petaling, Kuala Lumpur; BBP Bandar Enstek, Negeri Sembilan; BBP dan Kuarters Engkelili, Sarawak; BBP Dalat, Sarawak; BBP Sepanggar, Sabah dan BBP dan Kuarters Kota Kemuning, Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nga berkata peruntukan itu juga meliputi perolehan 231 kenderaan baharu bernilai RM40 juta termasuk 200 unit kenderaan ringan operasi bagi kegunaan kecemasan dan kerja lasak, 26 unit light fire forensic vehicle (LFFV) dan penggantian lima unit jentera khas K9 (Canine Rescue Tender).

Selain itu, beliau berkata ia turut meliputi penggantian peralatan pelindung diri berjumlah RM9.7 juta seperti perolehan penggantian 2,000 unit tabung peralatan pernafasan (BA), 4,000 unit helmet pemadam kebakaran berserta aksesori.

“Terdapat juga peruntukan khusus yang diberikan bagi penyelenggaraan kenderaan melibatkan peruntukan RM33.69 juta seperti penyelenggaraan kenderaan bomba, pengubahsuaian 82 unit kenderaan angkut berat Hicom handalan, pembaikan 172 kenderaan pengoperasian,” katanya.

Nga berkata peruntukan berkenaan termasuk bagi penyelenggaraan besar atau naik taraf balai bomba berusia lebih 50 tahun dengan jumlah RM 31.7 juta seperti pembinaan semula BBP Banting, Selangor; BBP Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta pembinaan semula dan pengubahsuaian sebahagian BBP Kuantan, Pahang.

Sementara itu beliau berkata atas keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap masalah perumahan anggota bomba, kerajaan meluluskan pembinaan 250 unit kediaman kuarters berjumlah RM174.1 juta iaitu 130 unit kuarters bagi BBP Kota Kemuning, Selangor, Paya Terubong, Pulau Pinang (48 unit) dan Labuan (72 unit).

Dalam pada itu, Nga dalam ucapan perasmiannya, berkata penganjuran persidangan antarabangsa bertemakan “Enhancing the Capacity” pada tahun ini itu tepat pada masanya mengambil kira tugasan anggota bomba yang kian mencabar.

“Membangunkan kapasiti tidak hanya terhad kepada inovasi teknologi semata-mata kerana ia merangkumi pembangunan kemahiran, pengetahuan, infrastruktur dan sistem yang akan membolehkan kita menangani risiko serta bertindak balas kepada kecemasan dengan lebih efektif dan efisyen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata IFCEM 2024 yang bermula hari ini hingga 24 Okt melibatkan 1,900 peserta dari 15 negara.

“Penganjuran IFCEM 2024 ini adalah dengan kerjasama strategik Institution of Fire Engineers (UK) Malaysia Branch-IFE(M), Malaysia Fire Protection Association (MFPA), The Confederation of Fire Protection Association-International (CFPA-i) dan The Society of Fire Protection Engineers (SFPE) yang diadakan setiap tiga tahun,” katanya.

Read Entire Article