ADVERTISE HERE
KAPIT, 15 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menahan dua lori balak dan tiga kenderaan dipandu warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Kapit–Mujong, semalam.
Operasi menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan dan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) itu dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kapit susulan aduan serta maklumat orang awam berkaitan aktiviti lori balak di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, hasil rondaan dan pemantauan yang dijalankan, dua lori balak ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan termasuk membawa muatan secara berbahaya, bunga tayar yang telah menipis serta kesalahan teknikal lain.
“Dalam operasi sama, JPJ Kapit turut menahan tiga kenderaan yang dipandu warga asing kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah,” menurut kenyataan itu.
Kesemua kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan aduan dan maklumat, sekali gus membantu pihaknya menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
Menurut JPJ Sarawak, aspek keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan dan operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·