KCFC alih tumpuan kepada Liga A1 – Gonzalez

1 hour ago 3
ADVERTISE HERE

KOTA BHARU, 21 Sept: Kelantan City FC (KCFC) kini mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga A1 Semi-Pro berbanding kempen Piala FA musim ini, kata ketua jurulatihnya Alfredo Gonzalez.

Beliau berkata keutamaan pasukan ketika ini adalah memastikan pemain berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Kedah dalam saingan Liga A1, selepas mengharungi aksi sengit suku akhir pertama Piala FA menentang Kuching City FC.

“Sejujurnya, tumpuan saya bukanlah pada kejohanan Piala FA ini kerana terdapat perbezaan ketara antara kami dengan Kuching City FC yang mempunyai enam atau tujuh pemain import serta pemain kebangsaan.

“Perbezaan ini tidak seimbang dan mustahil untuk bersaing secara adil dalam situasi di mana mereka boleh menurunkan pemain-pemain tersebut, terutama apabila bermain di tempat mereka sendiri pada aksi timbal balik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Gonzalez berkata keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan itu tetap memberikan pengalaman berharga kepada pemainnya, khususnya dalam menguji kemampuan mereka berdepan pasukan Liga Super.

“Sekarang ini kami perlu memikirkan perlawanan menentang Kedah dalam saingan Liga A1 Semi-Pro kerana tarikh perlawanan pusingan kedua Piala FA belum dimuktamadkan.

“Peluang untuk kami menang bertemu Kuching City FC pada perlawanan kedua nanti agak tipis kerana sedia maklum pasukan itu berada di kedudukan kedua Liga Super, manakala Kelantan City FC ialah pasukan yang baru memulakan perjalanan dalam dunia bola sepak,” katanya.

Beliau berkata aksi timbal balik di laman Kuching City FC dijangka menjadi cabaran lebih getir kepada KCFC, terutama dengan kelebihan lawan beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam perebutan tiket ke separuh akhir.

“Saya perlu memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan persembahan yang berkualiti mengikut kemampuan dan tahap kami,” katanya. -TVS

Read Entire Article