Kedai tiga tingkat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce terbakar

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 12 Sept: Sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini terbakar hari ini, dengan tingkat satu musnah sepenuhnya manakala tingkat dua terbakar kira-kira 80 peratus.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.42 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi pada jam 3.45 pagi.

“Kebakaran melibatkan bangunan berkeluasan kira-kira 40 x 80 kaki persegi, namun bahagian tingkat bawah tidak terjejas.

“Seramai empat individu termasuk tiga wanita berusia 20 tahun dan seorang lelaki berusia 63 tahun berada di lokasi dan kesemuanya selamat,” menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif menggunakan dua aliran air sepanjang 300 kaki serta dua nozel daripada jentera BBP Batu Lintang.

BBP Tabuan Jaya turut membantu membekalkan air menggunakan tangki air menerusi sistem pengepaman secara geganti berikutan tekanan air pili bomba yang rendah.

BBP Padungan pula membentangkan satu aliran air sepanjang 300 kaki bagi operasi pemadaman di bahagian belakang bangunan.

Operasi berjaya dikawal pada jam 5.18 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.54 petang selepas pasukan bomba memastikan lokasi selamat serta tiada lagi punca bahaya kebakaran.

Seramai 25 anggota bersama tiga jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah tangki air terbabit dalam operasi berkenaan yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Syarikat Sesco Berhad (SESCO).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Read Entire Article