ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Sarawak mahu kekuatan ekonomi, kepakaran dan sumber yang dimilikinya terus dimanfaatkan untuk memperkukuh Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan yang dilaksanakan Sarawak bukan hanya bertujuan memperkukuh negeri itu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha membina Malaysia yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Menurutnya, Sarawak bersedia berkongsi keupayaan dimilikinya dengan Sabah, termasuk dalam sektor tenaga dan pembangunan infrastruktur.
“Ini bukan kita berjuang untuk Sarawak sahaja. Kita berjuang untuk keutuhan negara Malaysia.
“Jadi kita sudah bangunkan dan kita kongsikan kekayaan kita dengan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan sistem grid elektrik Sarawak yang akan turut disambungkan ke Sabah membuktikan bagaimana kekuatan sesebuah negeri boleh dimanfaatkan untuk kepentingan yang lebih luas.
Katanya, kerjasama Sarawak dan Sabah perlu terus diperkukuh kerana kekuatan kedua-dua wilayah berkenaan turut menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan Malaysia.
Dalam konteks itu, beliau menegaskan kepentingan Sabah dan Sarawak untuk mempunyai suara yang kuat dan bersatu di peringkat Persekutuan, khususnya dalam memastikan kepentingan kedua-dua negeri terus diberi perhatian selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Apabila kita kuat, suara kita pun kuat. Kalau kita berpecah, kita tidak membawa suara yang satu,” katanya.
Beliau berkata, kesatuan dan kerjasama antara Sarawak dan Sabah bukan soal kepentingan wilayah semata-mata, sebaliknya penting dalam membentuk sebuah Malaysia yang lebih kukuh dari segi ekonomi, pembangunan dan hubungan antara wilayah.
Abang Johari menegaskan Sarawak akan terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dalam Malaysia dengan memastikan kekuatan ekonomi dan sumber negeri turut memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan negara. – TVS

15 hours ago
10








English (US) ·