Kerajaan akan terus tumpu usaha tingkat penggunaan ringgit bagi penyelesaian antarabangsa - MITI

3 weeks ago 10
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian antarabangsa dan menambah baik mekanisme sedia ada dengan negara strategi dari semasa ke semasa.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan kerajaan tetap terbuka untuk memperluas penggunaan mata wang tempatan serantau dengan negara ASEAN utama yang lain seperti Vietnam dan Filipina, serta negara anggota BRICS seperti Rusia dan India.

“Namun demikian, memandangkan dolar Amerika Syarikat (AS) masih memainkan peranan yang besar dalam sistem kewangan dunia, penggunaan mata wang lain oleh Malaysia dalam urusan perdagangan dan pelaburan perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan.

“Sebarang keputusan mengenai perkara ini hendaklah berlandaskan kepentingan negara serta selari dengan dasar-dasar semasa negara,,” menurut MITI dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, semalam.

MITI menjawab soalan yang dikemukakan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai cara untuk kerjasama Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) boleh membantu Malaysia dalam pengurangan kebergantungan terhadap dolar AS.

Kementerian itu menambah, antara inisiatif yang diketengahkan oleh gagasan BRICS adalah mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana mata wang asing.

Sejak 2014, negara anggota BRICS telah meneroka pelbagai cara untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada dolar AS dan mula meningkatkan penggunaan mata wang tempatan mereka dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa, jelas kementerian itu.

“Sebagai contoh, China dan Rusia sering menggunakan yuan dan ruble dalam transaksi perdagangan mereka,“ kata MITI.

MITI menjelaskan walaupun Malaysia belum menganggotai BRICS, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mula mengambil langkah proaktif ke arah mengurangkan pergantungan kepada dolar AS dan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

“Langkah ini bertujuan membolehkan pengurusan pendedahan pertukaran asing yang lebih cekap dan akhirnya mengukuhkan daya tahan dari kejutan faktor luar.

“Sehubungan itu, pihak kerajaan dan BNM meneroka peluang kerjasama penyelesaian mata wang tempatan dengan negara-negara strategik seperti China, Thailand dan Indonesia dan negara ASEAN lain yang mempunyai nilai dagangan dua hala yang tinggi,” menurut kementerian itu.

Read Entire Article