Kerjasama JKKN Sarawak, MSS dan MTCP dalam seni budaya terus diperkukuh

49 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam bidang seni dan budaya akan terus diperkukuh bagi mengeratkan hubungan serta memperluas manfaat kepada masyarakat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia penting bagi memastikan pelbagai program berkaitan seni dan kebudayaan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Menurutnya, pertemuan antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Majlis Seni Sarawak (MSS) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan program setiap tahun.

“Antaranya termasuk Festival Gendang yang diadakan setiap tahun sempena Regata Sarawak.

“Kerjasama ini turut diperluas melalui pelaksanaan program melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah, sekali gus memperkasa hubungan serta kerjasama dalam bidang seni dan budaya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan lori pentas bergerak daripada JKKN Sarawak kepada MSS di Kuching, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, JKKN Sarawak menyerahkan sebuah lori pentas bergerak kepada MSS bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti seni dan budaya di seluruh negeri.

Abdul Karim berkata, kemudahan berkenaan dijangka membantu MSS menyediakan ruang persembahan bergerak di lokasi yang bersesuaian, sekali gus memperluas akses masyarakat terhadap program seni dan budaya.

Selain menyokong pelaksanaan pelbagai program, penyerahan tersebut turut mencerminkan kerjasama berterusan antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekosistem seni, budaya dan warisan di wilayah ini.-TVS

Read Entire Article