KMKK diminta pantau lampu solar LED

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

ASAJAYA, 14 Sept: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diminta membantu memastikan keselamatan lampu solar LED yang disediakan di bawah Projek Sejahtera Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) daripada risiko kecurian serta vandalisme.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kerjasama KMKK dan penduduk kampung penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan kerajaan dipelihara dan terus memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, pemantauan secara berkala perlu dilakukan supaya sebarang kerosakan atau masalah terhadap lampu solar dapat dikenal pasti dan dilaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ada memaklumkan banyak vandalisme yang berlaku terhadap bekalan air dan elektrik di kawasan kita. Di seluruh negara juga menghadapi masalah yang sama.

“Kita perlu ada semangat kerjasama, memantau penyelenggaraan dan penyeliaan projek yang diserahkan kepada pihak kampung. Sebab itu, jika boleh Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (PKN) Cawangan Sarawak memberikan tanda pada lampu di tiang lampu solar supaya mudah dikenali penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program serahan Projek Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Solar One Off di kawasan Parlimen Kota Samarahan bagi daerah Asajaya yang berlangsung di Pusat Penjaja MPKS, hari ini.

Dalam ucapan sama, Rubiah meminta setiap KMKK mempunyai fail khas yang merekodkan maklumat berkaitan projek dan aset kampung, termasuk kemudahan lampu jalan solar KKDW.

Katanya, dokumentasi lengkap dapat membantu KMKK mengenal pasti lokasi aset serta memudahkan urusan pelaporan sekiranya berlaku kerosakan, kecurian atau vandalisme.

Dalam pada itu, Rubiah memaklumkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan lampu yang rosak menjadi tanggungjawab kontraktor dilantik selama lima tahun, dengan laporan dikemukakan kepada Pegawai Daerah.

Selepas tempoh berkenaan, tanggungjawab menjaga aset lampu solar LED akan diserahkan kepada PKN Cawangan Sarawak.

Beliau turut memaklumkan program lampu solar LED akan diperluas secara berperingkat ke seluruh Sarawak, termasuk kawasan yang telah dikenal pasti seperti Baram, Ulu Rajang, Bario dan Kapit.-TVS

Read Entire Article