Penduduk luar bandar sambut baik cadangan penubuhan Agensi Pembangunan Miri

54 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

MIRI, 14 September: Penduduk di kawasan luar bandar dan pinggir Miri menyambut baik cadangan Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan agensi pembangunan khusus bagi mempercepat pembangunan di kawasan berkenaan.

Cadangan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari tun openg itu dilihat mampu memberi perhatian lebih menyeluruh terhadap keperluan penduduk, khususnya dari aspek kemudahan asas, infrastruktur, kesihatan serta pembangunan ekonomi setempat.

Bagi penduduk Rumah Panjang Sungai Ukong, Lambir, Elvin Dillon, 26, penubuhan agensi berkenaan dilihat penting bagi memastikan kawasan pinggir Miri dan luar bandar turut menerima perhatian pembangunan.

Menurutnya, antara kemudahan asas yang perlu diberi keutamaan termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik, sistem saliran dan kemudahan kesihatan.

“Saya rasa memang bagus sekiranya ada agensi seperti ini kerana pinggir Miri dan juga luar bandar perlu diberikan perhatian juga.”

“Saya berharap agar kemudahan asas seperti jalan raya diperbaiki. Selain itu, seperti air, elektrik, saliran dan juga kemudahan kesihatan pun agak penting untuk penduduk di pinggir Miri dan juga luar bandar,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga dari Lambir, Hafiza Muhmud, 33, berharap pembangunan yang dilaksanakan turut memberi tumpuan kepada kemudahan perniagaan bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Katanya, kemudahan di kawasan tamu perlu dinaik taraf bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik kepada peniaga serta menarik lebih ramai penduduk untuk berkunjung.

Dalam pada itu, Jururawat Kesihatan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Lambir, Monica Laeng, 49, berharap pembangunan turut merangkumi peningkatan infrastruktur kesihatan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemudahan klinik yang lebih lengkap dapat memudahkan penduduk sekitar mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

“Saya sangat mengharapkan supaya Klinik Kesihatan Lambir ini menjadi satu klinik yang dilengkapi dengan infrastruktur yang sangat lengkap.”

“Ini untuk memudahkan lagi klien atau pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya di klinik,” katanya.

Bagi suri rumah, Santy anak Sedau, 42, kemudahan untuk peniaga di Tamu Lambir serta ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah turut perlu diberi perhatian bagi meningkatkan keselesaan penduduk.

Seorang lagi penduduk Lambir, Florence Michael, 43, berkata cadangan berkenaan mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk selain memberi manfaat kepada pembangunan anak-anak dan keluarga di kawasan tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan agensi pembangunan itu juga perlu dilakukan secara telus bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua penduduk.

“Saya rasa ia sangat baik untuk dilaksanakan untuk kawasan-kawasan yang di sekeliling sini, di kawasan Lambir untuk menaikkan taraf penduduk dari segi ekonomi, dari segi pembangunan untuk anak-anak dan keluarga-keluarga di sini.”

“Semoga agensi pelaksanaan ini akan dilaksanakan dengan bagus dan telus dan dapat memberikan manfaat untuk semua orang,” katanya.

Semalam Abang Johari Ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas PBB Sarawak di sini memaklumkan Kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan agensi pembangunan khusus bagi kawasan pinggir Miri bagi mempercepat pembangunan di kawasan berkenaan.

menurutnya pendekatan itu mengambil kira keperluan pembangunan kawasan luar bandar dan pinggir bandar Miri yang mempunyai potensi untuk berkembang.

Cadangan tersebut jelasnya boleh dilaksanakan menerusi model agensi pembangunan seperti yang digunakan di kawasan lain di Sarawak.– TVS

Read Entire Article