Kuala Cola perkasa jenama tempatan, bakal diedar di Everwin

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Penglibatan Kuala Cola dalam Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) menjadi platform bagi jenama minuman tempatan itu memperkenalkan produknya kepada masyarakat dan pencipta kandungan di Borneo khususnya di Sarawak.

Pengarah Urusan Kuala Cola, Dato’ Suzana Zakaria berkata, penyertaan menerusi AIM25 turut menjadi sebahagian daripada usaha Neatness Group memperluas kehadiran jenama berkenaan di pasaran Borneo.

“Bagi kami, AIM25 adalah satu acara yang besar. Ia merupakan satu platform untuk Kuala Cola membuka jalan memperkenalkan jenama Kuala Cola kepada masyarakat dan pencipta kandungan di Borneo, terutama di Sarawak.

“Itulah uniknya Kuala Cola kerana ia mewakili Malaysia sebagai jenama Malaysia yang kita harus banggakan. Di Malaysia sendiri terdapat kira-kira 200 lokasi yang menggunakan nama Kuala, termasuk Kuala Balingian dan Kuala Tatau di Sarawak serta Kuala Penyu di Sabah,” katanya kepada TVS di ruai pameran Kuala Cola di sini, malam tadi.

Ujarnya, Neatness Group turut merancang strategi pemasaran bagi meluaskan rangkaian pengedaran Kuala Cola termasuk membawa lebih dua kontena produk sempena AIM25 sekali gus melantik Everwin sebagai pengedar utama bagi mengedarkan produk Kuala Cola ke seluruh Sarawak, Sabah dan Borneo.

Sementara itu, Pengurus Barangan Wilayah Everwin, Brenda Lu ketika ditemui TVS berkata, pengedaran itu akan melibatkan kira-kira 40 cawangan Everwin di Malaysia bermula Oktober ini.

“Mulai Oktober, kami akan mengedarkan Kuala Cola ke semua cawangan kami. Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 40 cawangan di Malaysia termasuk di Melaka yang baharu sahaja dibuka pada 12 September lalu.

“Buat masa ini, kami akan mengedarkan produk ke outlet kami sendiri terlebih dahulu, kemudian kepada rangkaian pasar raya yang lain,” katanya.

Kuala Cola kini menawarkan tiga variasi, iaitu Kuala Cola Original, Kuala Cola Zero serta Kuala Cola Mix yang merupakan minuman istimewa (signature drink) dengan campuran garam Himalaya dan Arabic Gum dalam variasi tertentu. – TVS

Read Entire Article