Kuching rujuk model warisan Melaka, Pulau Pinang

13 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Sarawak akan menjadikan model pemuliharaan dan pemeliharaan warisan di Pulau Pinang serta Melaka sebagai rujukan dalam memperkukuh pengurusan aset warisan di Kuching menerusi Old Kuching Smart Heritage (OKSHE).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan kedua-dua negeri yang menerima pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia itu boleh dijadikan panduan dalam merancang serta memelihara kawasan dan bangunan bersejarah di Kuching.

“Kita akan mewartakan zon-zon tertentu di Kuching dan mengenal pasti bangunan serta monumen yang terdapat dalam kawasan tersebut untuk dipelihara.

“Kita sedang bergerak ke arah itu dengan harapan apabila proses pewartaan zon, pemuliharaan dan pemeliharaan monumen serta bangunan warisan dalam kawasan berkenaan selesai, kita juga suatu hari nanti boleh memohon kepada UNESCO untuk menjadikan Kuching sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Heritage Future: Voices of Old Kuching, di sini hari ini.

Karim berkata, pemeliharaan warisan perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan bandar bagi memastikan nilai sejarah Kuching terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Menurutnya, antara kawasan yang akan menjadi tumpuan awal ialah Jalan Gambir, Main Bazaar dan Lebuh India yang menempatkan pelbagai bangunan serta tapak bersejarah seperti Old Court House, Round Tower, Square Tower dan Masjid India.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan semasa tidak menjejaskan bangunan dan monumen bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Kuching.

Untuk rekod, kawasan bersejarah George Town di Pulau Pinang dan Melaka disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008 di bawah penamaan bersama ‘Melaka and George Town, Historic Cities of the Straits of Malacca’.-TVS

Read Entire Article