Latihan kemahiran perlu seiring, mendahului keperluan pekerjaan

2 hours ago 8
ADVERTISE HERE

BINTULU, 20 Sept: Pembangunan bakat perlu dirancang lebih awal bagi menjangka keperluan kemahiran dan tenaga kerja yang datang bersama pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan bakat tempatan bersedia merebut peluang yang terhasil daripada perkembangan industri dan pelaburan baharu.

“Inilah sebabnya kementerian saya memulakan program TalentPath Sarawak.Melalui kerjasama strategik dengan TVET MARA dan Sarawak Skills, peserta dilengkapkan dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan industri serta memenuhi keperluan tenaga kerja semasa dan akan datang.

“Apabila industri berkembang dan pelaburan baharu mengalir masuk ke Sarawak, kita mesti memastikan bakat tempatan kita bersedia merebut peluang yang diwujudkan. Pembangunan bakat tidak seharusnya hanya bermula selepas pekerjaan diwujudkan, sebaliknya perlu menjangka keperluan kemahiran dan tenaga kerja yang hadir bersama pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TalentPath Sarawak 2026 Bintulu Series di Hotel Imperial Bintulu, hari ini.

Menurutnya, Sarawak perlu memastikan bakat tempatan memiliki kompetensi dan kemahiran yang diperlukan bagi merebut peluang daripada pelaburan bernilai tinggi serta pembangunan industri baharu.

Katanya, TalentPath Sarawak 2026 menyediakan latihan bersubsidi dan pensijilan berkaitan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran peserta serta mempersiapkan mereka menghadapi tuntutan tempat kerja moden.

“Objektif kita bukan sekadar menghasilkan lebih ramai graduan latihan, tetapi membangunkan individu yang kompeten, mempunyai pensijilan dan bersedia untuk pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan pembangunan kemahiran itu juga perlu diselaraskan dengan permintaan sebenar industri termasuk minyak dan gas, petrokimia, tenaga, pembinaan serta industri berat.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM500,000 tambahan diluluskan bagi memperluas peluang latihan kemahiran kepada 63 peserta menerusi pendekatan Train and Place (T&P), tambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai peserta mengikuti kursus berkaitan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran serta peluang mendapatkan pekerjaan.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa baru-baru ini, tambahan RM500,000 telah diluluskan, sekali gus memperluas peluang ini kepada 63 peserta lagi menerusi pendekatan Train & Place.

“Mereka akan mengikuti lima kursus berkaitan industri di TVETMARA Bintulu, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak Region dan Pelita Maslaut Sdn. Bhd., bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran serta mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Katanya, MEITD menerima peruntukan RM2 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran di bawah Program Khas Bumiputera Sarawak (PKB), yang memberi manfaat kepada 156 peserta.

Lima kursus yang ditawarkan menerusi TalentPath Sarawak 2026 ialah Mechanical Fitter, Pipe Fitter, Painting & Blasting, Single Phase Wiring dan Harvesting Specialist.

Program itu menggunakan pendekatan Train and Place dengan menghimpunkan kerajaan, institusi latihan dan rakan industri bagi menyediakan latihan sejajar keperluan pasaran pekerjaan. – TVS

Read Entire Article