ADVERTISE HERE
KUCHING, 20 Sept: Seorang lelaki berusia 28 tahun cedera selepas dipukul seorang individu yang dikenalinya bersama beberapa individu lain di sebuah kedai makan di kawasan Pekan Kota Sentosa di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.45 malam.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam apabila mangsa dipukul menggunakan tangan dan objek keras.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mengalami beberapa kecederaan luaran di bahagian kepala, belakang badan, tangan serta kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis kini sedang menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti suspek serta beberapa individu lain yang dipercayai terlibat, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Barry turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu, khususnya di media sosial.
“Penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu pihak polis bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh,” ujarnya.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·