Lelaki ditahan, lima keping zink aluminium dicuri dijumpai semula

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

BAU, 27 Sept: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan menjumpai semula lima keping zink aluminium yang dipercayai dicuri dari sebuah rumah kebun di Kampung Skiat Baru di sini.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A.Rahman berkata, kes dilaporkan pada 24 September selepas pengadu mendapati lima keping zink aluminium hilang dari rumah kebunnya.

“Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Bau menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek di kawasan Kampung Skiat Baru kelmarin.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak bersendirian dengan mengambil zink berkenaan sebelum menjualnya kepada sebuah kedai barang lusuh di kawasan Tasik Biru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan maklumat daripada suspek, polis menjalankan tindakan lanjut di sebuah premis di Kampung Tasik Biru semalam dan berjaya merampas semula lima keping zink aluminium serta satu resit jualan.

“Rampasan dibuat mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman telah dibuat. Polis turut menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kes lain yang mempunyai modus operandi sama,” ujarnya. – TVS

Read Entire Article