MIHAS 2026 platform Nang Ori tembus produk Sarawak ke pasaran dunia

16 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Penyertaan Nang Ori di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dimanfaatkan sebagai platform memperluaskan pasaran produk berasaskan lada Sarawak ke pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Nang Ori, Awaeang Kwasin berkata, MIHAS juga menjadi platform penting untuk mempromosikan produk keluaran Malaysia, khususnya produk Sarawak, ke pasaran antarabangsa.

“Lada Sarawak memang sudah terkenal di seluruh dunia kerana ia antara lada terbaik dunia, tetapi belum ada jenama dari Sarawak.

“Jadi, kami antara jenama dari Sarawak dan Malaysia yang sedang memperjuangkan produk lada tempatan untuk berada di pasar raya antarabangsa,” katanya kepada TVS ketika ditemui pada penganjuran MIHAS 2026, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, platform itu juga memberi peluang kepada pihaknya untuk bertemu pembeli antarabangsa, termasuk Korea Selatan, Jepun, Brunei, Singapura dan Amerika Syarikat bagi memperluas pasaran produk Sarawak.

“Saya memang tidak ketinggalan untuk menyertai MIHAS kerana di sini kami dapat berjumpa bukan sahaja dengan pembeli dari Malaysia, malah pembeli dari seluruh dunia.

“Contohnya, kali ini kami sempat berjumpa dengan pembeli dari Korea Selatan, Jepun, Brunei dan Singapura yang datang semula, dan bukan sahaja untuk urusan perniagaan baharu tetapi turut meminta kami menambah variasi produk (SKU),” katanya.

Kata Awaeang, Nang Ori kini bukan sahaja memberi tumpuan kepada produk berasaskan lada Sarawak, malah turut mengetengahkan produk inovasi seperti gel lada hitam, kopi lada hitam dan teh lada hitam.

Tambah beliau, penyertaan kali kelima di MIHAS tahun ini turut menyaksikan Nang Ori membawa produk PMKS Sarawak seperti Borco, MyD dan Kina Karar sebagai usaha memperkenalkan lebih banyak produk Sarawak ke pasaran global.

“Tahun ini, sasaran kami bukan sahaja membawa produk Nang Ori, tetapi turut membawa produk-produk rakan dari Sarawak untuk diperkenalkan dan dibawa bersama-sama meneroka pasaran dunia,” ujarnya. — TVS

Read Entire Article