ADVERTISE HERE
MIRI, 12 Sept: Pemilikan lesen memandu secara sah mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu rakyat menjana pendapatan, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan kekangan kewangan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kos mendapatkan lesen memandu menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan, sekali gus boleh mengehadkan peluang mereka dalam pasaran pekerjaan.
Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berusaha memastikan peluang mendapatkan lesen memandu turut dinikmati masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman pada kos minimum.
“Dengan mempunyai lesen memandu secara sah, seseorang mempunyai peluang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan, menjana pendapatan, membantu keluarga dan membina kehidupan yang lebih baik.
“Kita tidak mahu ada anak muda yang tercicir daripada peluang pekerjaan hanya kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Bantuan MyLesen Parlimen P.218 Sibuti, di Dewan Masyarakat Bekenu, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, sejak program MyLesen diperkenalkan di Sarawak pada 2024, seramai 11,936 peserta berjaya memperoleh lesen memandu, meningkat kepada 12,593 peserta pada 2025.
Katanya, peningkatan penyertaan itu menunjukkan keperluan terhadap inisiatif berkenaan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan pedalaman. – TVS

2 hours ago
8








English (US) ·