ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) terus mendekati komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia bagi memperkukuh hubungan serta memastikan adat, identiti dan warisan budaya masyarakat itu terus terpelihara.
Ketua MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Program Pemerkasaan Adat Bidayuh 1994 bersama Komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia yang berlangsung di sini, hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan membabitkan 50 peserta daripada komuniti Bidayuh yang menetap di Semenanjung Malaysia dan menjadi antara inisiatif MAIS untuk mendekati komuniti Bidayuh yang berada di luar Sarawak.
“Kewujudan komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia mencerminkan bagaimana masyarakat itu terus mengekalkan hubungan dengan asal-usul, identiti dan warisan budaya walaupun berada jauh dari Sarawak,” katanya.
Menurutnya, program itu turut bertujuan memperkenal dan memperkukuh kefahaman komuniti Bidayuh di Semenanjung terhadap Adat Bidayuh 1994, selain mendapatkan pandangan, pengalaman dan maklum balas berhubung amalan adat dalam konteks kehidupan masyarakat Bidayuh di luar Sarawak.
Neilson berkata, program mendekati komuniti seperti itu akan diteruskan MAIS supaya masyarakat etnik Sarawak yang berada di luar negeri sentiasa mendapat pengetahuan dan perkembangan semasa berkaitan usaha kodifikasi serta kajian semula adat natif di Sarawak, khususnya komuniti Bidayuh.
“Dengan ini, adat-adat natif akan terus menjadi amalan dan kekal relevan seiring dengan zaman moden pada masa kini,” katanya.

4 hours ago
4








English (US) ·