Malaysia sekali lagi dipilih negara tetamu kehormat Expo Harbin 2027

39 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Malaysia sekali lagi dipilih sebagai negara tetamu kehormat bagi Expo Harbin 2027 di China tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, beliau menerima surat daripada Kerajaan China semalam berhubung pemilihan tersebut yang disifatkan sebagai satu penghormatan kepada negara, khususnya pengusaha produk Kampung Good.

“Ini merupakan satu penghormatan yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha produk kampung-kampung kita. Satu kampung bukan saja satu produk, kita ada juga beberapa produk yang lain,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Ekspo Kampung Baru dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Produk Terbaik Kampung Baru Malaysia 2026 di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada Mei lalu, Malaysia buat julung kalinya menyertai Expo Harbin sebagai negara tetamu kehormat, dengan produk Kampung Good turut dibawa menembusi pasaran antarabangsa.

Tambah Kor Ming, sebanyak 39 produk Kampung Good telah dibawa menyertai ekspo berkenaan tahun ini, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha tempatan memperluaskan pasaran mereka ke luar negara.

Menurutnya, pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun depan dijangka terus membuka pasaran baharu kepada produk tempatan, khususnya dengan potensi pasaran China yang mempunyai kira-kira 1.4 bilion penduduk.

“Ini sudah tentunya akan memangkin dan menyemarakkan lagi semangat supaya produk-produk kita bukan sahaja dijual dalam pasaran domestik, kita membuka pasaran baharu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hanya pengusaha yang memperoleh sijil Kampung Good layak mewakili Malaysia pada ekspo berkenaan bagi memastikan kualiti produk yang dibawa mampu mengharumkan nama negara.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menggalakkan pengusaha Kampung Good mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperluaskan kebolehpasaran produk mereka, termasuk dalam pasaran pengguna Islam.

Sementara itu, beliau memaklumkqn berkata KPKT akan memohon tambahan RM100 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menambah dana pembiayaan kepada pengusaha Kampung Baru daripada RM320 juta kepada RM420 juta mulai 2027.

Katanya, daripada RM320 juta yang disediakan ketika ini, sebanyak RM300 juta telah disalurkan kepada pengusaha dengan baki dana berjumlah RM20 juta.

“Setiap pengusaha layak memohon pembiayaan sehingga RM150,000 menerusi kerjasama KPKT dan Bank Simpanan Nasional (BSN), dengan kadar efektif serendah dua peratus,” ujarnya.

Pada masa sama, KPKT akan meningkatkan nilai insentif kepada pemenang Anugerah Kampung Good sebanyak 100 peratus tahun depan, daripada RM40,000 kepada RM80,000. – TVS

Read Entire Article