ADVERTISE HERE
SIBU: Seorang mekanik kapal warga emas kerugian sebanyak RM17,220 selepas terpedaya dengan iklan palsu di aplikasi WhatsApp mengenai jualan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), pada awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa berusia lingkungan 70-an itu membuat laporan polis semalam mendakwa telah membuat bayaran ke dalam dua akaun bank tempatan yang diberikan seorang suspek yang dikenali sebagai Sam Low.
“Mangsa mendakwa Sam Low menawarkan kenderaan MPV itu pada harga RM60,000 menerusi satu iklan di aplikasi WhatsApp dan atas alasan untuk mempercepatkan urusan pembelian, mangsa diminta membuat pembayaran awal ke dalam dua akaun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata magsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan lima transaksi secara dalam talian di antara 8 dan 15 Jun lepas membabitkan jumlah keseluruhan RM17,220.
“Setelah pembayaran berjaya dibuat, suspek sekali lagi mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran berjumlah RM3,500 menyebabkan mangsa berasa curiga dan sedar dirinya telah menjadi mangsa penipuan dalam talian, lalu membuat laporan polis,” katanya.