Mendiang Debra selamat disemadikan

1 hour ago 1
ADVERTISE HERE

PADAWAN, 14 Sept: Jururawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), mendiang Debra Moset yang maut dalam nahas helikopter di Long Lellang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan St Patrick, Kampung Semadang, di sini, kira-kira jam 12.25 tengah hari tadi.

Suasana sedih menyelubungi pengebumian mendiang yang dihadiri keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat bagi memberikan penghormatan terakhir.

Suami mendiang, John Then Hua Ken menyifatkan isterinya sebagai seorang yang rendah diri, baik hati dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas sebagai kakitangan kerajaan.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyangka tragedi berkenaan berlaku, namun menerima kejadian itu sebagai sebahagian daripada pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul mendiang sebagai jururawat FDS.

“Bagi saya, Long Lellang adalah tempat yang selamat. Saya sendiri tidak menyangka kejadian seperti ini berlaku kepadanya.

“Apabila mendapat berita, saya cuba untuk tidak mempercayainya, tetapi selepas berkali-kali menghubungi isteri tanpa mendapat maklum balas, saya mula memahami bahawa sesuatu telah berlaku,” katanya ketika ditemui media di kediaman mereka di Kampung Semadang, di sini, hari ini.

John turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu beliau dan keluarga sejak insiden nahas sehingga urusan pengebumian mendiang selesai.

Beliau berkata, dirinya bersyukur dan berbangga kerana masyarakat setempat menerima mendiang sebagai seorang wirawati yang berkhidmat, berkorban dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Menurutnya, keputusan membawa mendiang untuk dikebumikan di Kampung Semadang juga berkait dengan impian terakhir isterinya untuk menetap di kediaman baharu mereka di situ.

“Itulah sebab saya bawa dia ke sini kerana ini merupakan impian terakhirnya untuk tinggal di rumah baharu kami.

“Semua sudah disediakan dan hanya bekalan elektrik yang perlu disambungkan. Dia memang berniat untuk tinggal di sini apabila kembali ke Kuching. Semoga dia pergi dengan tenang kerana cita-citanya sudah tercapai,” ujarnya.

Debra merupakan antara lima mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang, Baram yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada 8 September lalu.

Nahas itu turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, jururawat Jessie Paya Jok, 44, dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31.

Debra meninggalkan suami, John Then Hua Ken, 44, serta dua anak, Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Suling, 12.-TVS

Read Entire Article