Miri tewaskan Kapit 3-1 dalam aksi Liga Premier Sarawak

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

MIRI, 12 Sept: Pasukan Miri meraih tiga mata selepas menewaskan Kapit 3-1 dalam aksi Liga Premier Sarawak 2026 Zon B (Utara) di Stadium Terbuka Miri, di sini, petang tadi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tindakan pasukan Miri menurunkan pemain muda dalam saingan Liga Premier Sarawak wajar diberi pujian kerana membuka ruang kepada pemain baharu untuk memperoleh pengalaman kompetitif.

Menurutnya, pendekatan berkenaan juga dapat membantu Sarawak membentuk lebih banyak pilihan pemain yang berpotensi mewakili negeri dalam pertandingan lain serta diketengahkan ke saingan bola sepak profesional.

“Harapan kami dalam Liga Premier Sarawak adalah untuk melahirkan pemain-pemain lapisan yang dapat mewakili Sarawak di pertandingan-pertandingan lain dan juga untuk mewakili Kuching City FC dalam pertandingan bola sepak profesional, Malaysia Football League,” katanya ketika ditemui TVS, di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, penglibatan pemain muda secara konsisten akan membolehkan FAS mempunyai lebih banyak pemain pelapis untuk diketengahkan ke saingan yang lebih tinggi.

“Apabila pasukan mula meletakkan pemain-pemain muda, maka kita akan mempunyai banyak pelapis dan pangkalan data pemain yang boleh kita gunakan untuk diketengahkan dalam liga-liga yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAS, Sophie Shariee berkata, edisi kedua Liga Premier Sarawak tahun ini menyaksikan penyertaan 14 pasukan yang dibahagikan kepada tujuh pasukan di Zon Utara dan tujuh pasukan di Zon Selatan.

Menurutnya, perkembangan positif turut dapat dilihat apabila kebanyakan pasukan menunjukkan tahap kematangan permainan yang lebih baik berbanding musim lalu.

“Semua pasukan menunjukkan kematangan dalam bermain dan masing-masing mempersembahkan persembahan yang begitu hebat berbanding tahun lepas bagi kedua-dua zon, Zon Utara dan Zon Selatan,” katanya.

Manakala, perlawanan peringkat kumpulan dijangka selesai pada awal Oktober sebelum saingan diteruskan sehingga perlawanan akhir yang dijadualkan pada 7 atau 14 November ini. – TVS

Read Entire Article