Liga Premier: Betong FA benam Sri Aman FA 4-0

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

SARATOK, 12 Sept: Betong FA meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Premier Sarawak 2026 Zon Selatan selepas membelasah Sri Aman FA 4-0 pada aksi pusingan kelima di Stadium Mini Saratok, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Betong FA mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, selain mempunyai satu perlawanan tertunda.

Betong FA membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi tandukan Aiman Asli yang menyudahkan sepakan penjuru.

Mohammad Hatadi Muliady kemudian menggandakan kelebihan Betong FA pada minit ke-32 selepas mudah menyudahkan peluang di depan gawang Sri Aman FA yang dikawal Muhammad Bukhari Mohd Nizam.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Betong FA terus menguasai permainan dan Hatadi sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-53 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-58 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Betong FA mengutip tiga mata penuh, manakala Sri Aman FA terus kempunan mata selepas mengalami kekalahan ketiga.

Jurulatih Betong FA, Abdul Rahman Sapaiee, menyifatkan kemenangan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pemain selepas melalui beberapa perlawanan sebelum ini.

Katanya, tiga mata berkenaan turut membuka peluang kepada pasukannya untuk memburu kedudukan empat teratas Zon Selatan.

“Semua pasukan mengharapkan benda seperti ini, tetapi kita tidak ada sasaran terlalu tinggi. Kita akan cuba sedaya upaya kerana masih ada dua perlawanan yang perlu ditempuh.

“Saya berharap pemain terus berusaha, berlatih dan jangan putus asa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, hari ini.

Sementara itu, jurulatih Sri Aman FA, Mohamad Hairulasfia Hasbi, mengakui kekalahan itu memberi tekanan kepada peluang pasukannya untuk memburu kedudukan empat teratas.

Bagaimanapun, katanya, Sri Aman FA masih mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding beberapa pasukan lain dan perlu berusaha mendapatkan mata maksimum dalam baki tiga perlawanan.

“Di atas kertas memang agak sukar, tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil. Kami akan terus mencuba dan saya masih positif serta percaya kepada pemain.

“Untuk perlawanan seterusnya, kami akan buat sesuatu yang lebih daripada 100 peratus,” katanya.

Dalam aksi pusingan keenam pada 19 September ini, Sri Aman FA akan menentang PDRM di Kompleks Sukan Sri Aman, manakala Betong FA tidak beraksi pada minggu depan.

kapsyen gambar
Pasukan Betong FA dan Sri Aman FA sebelum aksi Liga Premier.

Read Entire Article