NACCOL wujud jawatankuasa peringkat tinggi mengenai pembangunan industri jagung bijian

4 months ago 78
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun untuk menjamin ekosistem industri ternakan ayam dan makanan ternakan negara dapat direalisasikan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NACCOL berkata mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju melantik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) untuk mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi itu.

“Disebabkan perkara ini berkait rapat dengan isu keterjaminan makanan negara dan mempunyai rantaian ekosistem yang kompleks, saya bersetuju agar KPKM menerajui pembangunan industri jagung bijian di Malaysia berdasarkan beberapa strategi yang telah digariskan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Kerjasama ini memastikan penanaman jagung bijian dapat ditanam dalam skala yang besar dan komersial. Ini perlu disegerakan bagi memastikan kebergantungan terhadap jagung mentah import dapat dikurangkan dengan signifikan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NICCOL hari ini.

Ahmad Zahid berkata menjelang 2030 sebanyak 1.25 juta metrik tan (bijirin jagung dihasilkan) dengan keluasan 136, 527 hektar tanah akan dibangunkan dalam skala besar (ladang), selain menyarankan dalam fasa Pengukuhan ketika ini (2021 – 2025), tanah penanaman digandakan bagi memastikan pencapaian yang disasarkan dapat dicapai.

Timbalan Perdana Menteri turut menyeru Kerajaan Negeri dan pihak lain agar menyambut cadangan itu dengan melihat tanah-tanah kosong yang boleh diusahakan dalam memperluaskan Pembangunan Industri Jagung Bijian selain menawarkan tanah milik agensi di bawah KKDW seperti FELCRA dan RISDA untuk dibangunkan.

Mengenai isu semasa industri gula di bawah kluster makanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut dibincangkan, Ahmad Zahid berkata mesyuarat mewajibkan pembekalan gula putih bertapis dan sentiasa tersedia dalam gudang dengan kapasiti 1,000 metrik tan di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan, dan 1,000 metrik tan di Sarawak.

“Sehingga ke hari ini harga jualan runcit gula putih bertapis di Malaysia masih kekal terendah dalam kalangan negara ASEAN. Cabaran jangka pendek dan sederhana perlu ditangani segera. Justeru setelah meneliti dan mendengar semua pandangan ahli mesyuarat, Mesyuarat bersetuju agar perkara ini diangkat segera ke perhatian Jemaah Menteri dan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Ahmad Zahid berkata pelaksanaan TVET oleh pelbagai pihak terutamanya Majlis TVET Negara dan NACCOL perlu bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Sektor yang menjadi tumpuan TVET merupakan sektor strategik serta terkait rapat dengan agenda sara hidup negara. Antaranya adalah sekuriti makanan negara, industri berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta inovasi yang menyokong kemampanan industri utama negara seperti peralihan tenaga, pertanian, perindustrian semikonduktor dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai Laporan Kajian Bantuan Tunai di bawah Kluster Pendapatan oleh Khazanah Research Institute (KRI) yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata terdapat beberapa cadangan penambahbaikan dasar dalam mengelola bantuan tunai di Malaysia antaranya menambahbaik pemantauan, penilaian dan pelaporan tentang program.

“Mesyuarat bersetuju agar pelaksanaan Pusat Sehenti diwujudkan bagi penyaluran maklumat serta pendaftaran, dan ia dapat menambah baik akses kepada program bantuan tunai dan program lain,” katanya.

Read Entire Article