ADVERTISE HERE
BINTULU, 24 Sept: Sebanyak 300 kenderaan pelbagai jenis diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Ops Lebih Muatan di sekitar Jalan Pan Borneo Bintulu, pada Rabu.
Operasi dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kapit dengan kerjasama Unit Operasi JPJ Bintulu menerusi rondaan dan pemantauan berterusan.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan termasuk membawa muatan melebihi had ditetapkan, tiada lesen memandu dan bunga tayar menipis.
“Turut dikesan kesalahan melanggar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta beberapa kesalahan teknikal kenderaan.
“Semua kesalahan yang dikesan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
JPJ Sarawak mengingatkan pemilik dan pengusaha kenderaan supaya memastikan muatan tidak melebihi had dibenarkan, permit dipatuhi, lesen memandu dan LKM masih sah serta kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
Penguatkuasaan itu akan diteruskan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan peraturan serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, khususnya membabitkan kenderaan yang membawa muatan berat.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·