Park Guide jadi mata dan telinga kerajaan lindungi khazanah Sarawak

2 hours ago 3
ADVERTISE HERE

MIRI, 21 Sept: Park Guide bukan sekadar berperanan membawa pelancong, malah perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membantu melindungi khazanah alam serta sumber asli Sarawak.

Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, peranan itu semakin penting susulan peningkatan kes pengambilan dan cubaan membawa keluar sumber asli Sarawak oleh pihak luar sejak kebelakangan ini.

“Jangan kita anggap tugas sebagai Park Guide adalah untuk membawa pelancong semata-mata. Mereka merupakan mata dan telinga kerajaan dalam membantu melindungi khazanah Sarawak.

“Kerajaan Sarawak memerlukan komuniti untuk bersama-sama menjaga khazanah dan sumber asli kita supaya tidak dibawa keluar dari Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Latihan Park Guide di Taman Negara Niah, dekat sini, hari ini.

Abang Arabi berkata, beberapa kes yang dikesan sejak 2025 membabitkan warga asing yang mengambil pelbagai sumber asli Sarawak termasuk serangga, tumbuhan dan spesies hidupan liar.

Katanya, pada 2025, pihak berkuasa menahan enam warga Rusia yang terdiri daripada saintis dan profesor berhubung aktiviti pengambilan sumber asli, selain beberapa kes melibatkan warga China.

“Pada 2026 pula, kita telah merekodkan beberapa tangkapan melibatkan individu yang mengambil sumber asli seperti serangga, kumbang, kala jengking dan daun tumbuhan untuk dibawa keluar.

“Pada hakikatnya, apabila sumber-sumber ini jatuh ke tangan pihak luar, ia boleh dieksploitasi dan dijual di pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Penglibatan komuniti tempatan katanya penting bagi membantu kerajaan mengesan serta mencegah aktiviti yang boleh menjejaskan sumber asli Sarawak.

Seramai 20 peserta dari Niah, Lambir, Kuala Baram dan industri pelancongan Miri mengikuti Program Latihan Park Guide berkenaan.

Program itu turut menerima tajaan RM120,000 daripada South Asia Regional Center for Counter Terrorism di bawah Kementerian Luar Negeri bagi menyokong latihan serta pembangunan peserta.

Abang Arabi berkata, usaha memperkasa Park Guide merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang SFC dalam membangunkan kapasiti komuniti di sekitar kawasan taman negara, termasuk kawasan yang mempunyai nilai warisan dunia.

“Kita mahu membangunkan insan, khususnya rakyat yang tinggal di sekitar kawasan taman negara. Selain sistem Park Guide, terdapat beberapa latihan dan program lain yang akan kita laksanakan untuk meningkatkan kesedaran serta keupayaan komuniti,” katanya.

Peserta yang memenuhi keperluan ditetapkan berpotensi dilantik sebagai Honorary Wildlife Ranger di bawah Seksyen 8 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak. – TVS

Read Entire Article