ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian khianat menggunakan api dan balingan objek disyaki bahan letupan atau mercun membabitkan kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman, semalam.
Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian mempunyai modus operandi hampir sama.
Menurutnya, dua suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap dipercayai memasuki premis sebelum membaling objek yang disyaki mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar ke dalam kedai.
“Tindakan tersebut menyebabkan letupan, kerosakan harta benda serta kebakaran dalam salah satu kejadian.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan khianat menggunakan api atau bahan letupan untuk memusnahkan rumah atau bangunan.
“PDRM Sarawak kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek, selain menganalisis bahan yang digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta menyiasat kemungkinan wujud kaitan antara kedua-dua kejadian.
“Berhubung dakwaan yang tular mengenai premis berkenaan menjual top up judi dalam talian, perkara itu turut akan disiasat dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat kesalahan, termasuk memohon pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan pembatalan lesen perniagaan.
“PDRM turut menasihatkan pemilik premis yang masih belum membuat laporan supaya berbuat demikian dengan segera, selain orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Kontinjen Sarawak di talian 082-240 800.-TVS

12 hours ago
8








English (US) ·