ADVERTISE HERE
BAU, 12 Sept: Sarawak sedang merangka hala tuju jangka panjang sistem kesihatan negeri menerusi Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050 bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata pelan itu akan menjadi kerangka dalam memperkukuh akses serta kemampanan sistem kesihatan negeri, selain meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran kesihatan pada masa hadapan.
Katanya, Sarawak turut membiayai penyelidikan dan pembangunan pelan berkenaan menggunakan sumber negeri sebagai bukti komitmen kerajaan dalam membangunkan sistem kesihatan yang memenuhi keperluan rakyat.
“Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama firma perunding antarabangsa KPMG dilantik oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) bagi menjalankan kajian berkaitan pelan tersebut.
“Inisiatif ini dijangka menyediakan asas yang kukuh di peringkat akar umbi bagi pembangunan kesihatan di Sarawak sekali gus memberi manfaat kepada rakyat menjelang tahun 2050 ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program KHUAM KPT Prihatin MADANI 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan akan terus diberi perhatian, terutama bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Beliau berkata pembangunan kesihatan negeri bukan sekadar pembinaan fasiliti, sebaliknya turut melibatkan pembentukan ekosistem kesihatan yang kukuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak untuk generasi akan datang. – TVS

1 hour ago
4








English (US) ·