ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak tidak boleh bergantung semata-mata kepada pembelian teknologi dan pembangunan infrastruktur dalam usaha membina ekonomi berasaskan inovasi, sebaliknya pembangunan bakat muda perlu diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dikekalkan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kekurangan tenaga kerja berkemahiran merupakan antara cabaran utama yang boleh menjejaskan usaha Sarawak membangunkan ekonomi berpendapatan tinggi serta berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, meskipun Sarawak mampu memperoleh teknologi baharu dan membangunkan infrastruktur moden, keupayaan sumber manusia untuk membangunkan, mengadaptasi serta menggunakan teknologi secara berkesan tetap menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan transformasi ekonomi negeri.
“Ekonomi yang dipacu inovasi tidak boleh dikekalkan tanpa golongan muda. Bakat kekal menjadi kekangan utama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan International Seminar on Advancing Innovation in AI, Education and Societal Transformation through Management and Engineering (SeAIM’26) di sini, hari ini.
SeAIM’26 diadakan serentak dengan 5th Sarawak Invention, Innovation & Design Exposition (SIIDEx) 2026.
Roland Sagah menjelaskan, Sarawak memerlukan saluran pembangunan bakat yang kukuh bagi melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, pakar kecerdasan buatan (AI) serta tenaga profesional dalam bidang teknikal bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Menurutnya, golongan muda bukan sahaja perlu menguasai teknologi, malah perlu dilengkapi kemahiran untuk menghasilkan idea baharu dan menterjemahkannya kepada penyelesaian yang memberi nilai kepada masyarakat serta ekonomi.
“Inovasi juga tidak seharusnya terhad kepada penghasilan ciptaan baharu, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dikomersialkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Roland Sagah mencabar peserta SeAIM’26 dan SIIDEx 2026 supaya memastikan hasil inovasi yang dihasilkan tidak sekadar berakhir sebagai projek pameran.
“Setiap inovasi tidak seharusnya berakhir di atas meja pameran. Peserta perlu bertanya, siapa yang memerlukan penyelesaian ini dan adakah ia boleh dikembangkan untuk menghasilkan nilai ekonomi atau sosial yang boleh diukur untuk Sarawak dan Malaysia?” jelasnya.
Menurutnya, masa depan Sarawak bukan hanya bergantung kepada seberapa pantas wilayah ini menerima teknologi baharu, tetapi turut bergantung kepada keupayaan untuk membangunkan teknologi sendiri serta menggunakannya secara bertanggungjawab.
“Kita mesti mengawal AI, bukannya membiarkan AI mengawal kita,” katanya.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·