KUCHING: Panel semakan Mahkamah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara sepanjang hayat seorang lelaki kepada maksimum 40 tahun penjara kerana membunuh seorang pelajar sekolah perempuan, melakukan seks dengan mayat yang kemudian dipenggal kepalanya.
Sidang tiga hakim dipengerusikan Zabariah Yusof memerintahkan tempoh hukuman penjara John Nyumbei bermula pada 18 Mac 1993, iaitu tarikh dia ditahan.
Susulan semakan hukuman, lelaki berusia 57 tahun itu dibebaskan hari ini, mengambil kira satu pertiga hukuman telah dijalani, kata peguamnya, Joshua Baru Bian kepada FMT.
Hakim Zabariah bersidang bersama Rodzariah Bujang dan Abdul Karim Abdul Jalil.
Permohonan dibuat John difailkan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).
John, pada asalnya dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 4 April 1997. Pensabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Hukuman mati dikenakan terhadapnya ditukar kepada penjara sepanjang hayat oleh Lembaga Pengampunan, pada 15 Feb 2016.
John kemudian memfailkan semakan hukuman di Mahkamah Persekutuan bawah akta baharu itu, yang memberikan mahkamah pilihan menukar penjara sepanjang hayat kepada hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Di mahkamah hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim memohon John dikenakan hukuman maksimum.
“Mahkamah perlu mengambil kira sifat dan keseriusan kesalahan berkenaan, kepentingan awam dan juga impak kesalahannya terhadap ahli keluarga (mangsa),” katanya, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari.
Mengikut fakta kes, John membunuh Jong Liu Chin, 18, di Sebuku, Bau antara 5.30 pagi dan 7 pagi, pada 16 Mac 1993.
Bertindak atas maklumat diterima, anggota polis menemui mayat tanpa kepala dengan pakaian seragam sekolah biru, dengan tanda nama masih tersemat.
John ditahan pada 18 Mac, dan kemudian membawa kepada penemuan sebilah pisau.
Siasatan lanjut membawa kepada penemuan tengkorak manusia, yang kemudian disahkan oleh seorang profesor odontologi forensik dan antropologi fizikal dari Universiti Tokyo, Masatsugu Hashimoto, sebagai tengkorak si mati.
Ketika bicara, pakar patologi forensik, Dr Sardar Jehan, memberi keterangan bahawa beliau menemukan keterangan berlaku hubungan seksual berdasarkan keberadaan sperma dalam kuantiti yang banyak.
John gagal meyakinkan mahkamah bahawa dia dalam keadaan tidak waras ketika kesalahan dilakukan. Dia mengaku membunuh pelajar itu dan kemudian membuat hubungan seks dengan mayat.
Dia juga mengakui memenggal kepala si mati dan membawa ia bersamanya sebelum disiat kulit daripada kepala dan melemparkannya ke dalam hutan di Kampung Opar, Bau.