ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Hasrat menubuhkan Persatuan AI Sarawak semakin direalisasikan menerusi inisiatif sekumpulan penggerak daripada pelbagai latar belakang industri yang komited memperkasakan pemahaman teknologi kecerdasan buatan (AI) di negeri ini.
Inisiatif itu digerakkan oleh pemain daripada pelbagai sektor termasuk akademi bola sepak, pereka fesyen, pengarah filem, penggiat muzik dan pencipta kandungan yang melihat potensi AI dalam mentransformasi kerjaya serta industri masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penubuhan persatuan berkenaan bertepatan dengan keperluan menyokong agenda ekonomi digital Sarawak.
Menurutnya, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama jawatankuasa penaja bagi memperincikan hala tuju dan matlamat persatuan itu.
“Minat terhadap AI ini merentasi pelbagai sektor. Antara penggeraknya termasuk wakil Akademi Bola Sepak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang mahu memanfaatkan AI dalam latihan dan kandungan sukan, pereka fesyen, pengarah filem hingga pencipta kandungan digital.
“Apabila persatuan ini ditubuhkan kelak, penglibatan pelbagai pihak ini akan mempercepatkan kefahaman dan penguasaan teknologi digital serta AI dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Media AI di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah menjelaskan, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bersedia memberikan sokongan kepada penubuhan persatuan berkenaan bagi memastikan ia menjadi platform berkesan dalam memperkasakan bakat tempatan.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak tidak boleh bergerak sendirian dalam mendidik masyarakat mengenai perkembangan teknologi baharu, sebaliknya memerlukan peranan aktif persatuan dan komuniti sivil.
Penubuhan persatuan itu juga dijangka membuka ruang kolaborasi lebih luas antara pakar industri dan golongan muda Sarawak, sekali gus membantu menyediakan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·