ADVERTISE HERE
BAU, 12 Sept: Penggunaan teknologi Point-of-Care Ultrasound (POCUS) dilihat mampu memperluas akses kepada kepakaran perubatan, khususnya bagi komuniti di Sarawak yang berdepan cabaran geografi dan keterbatasan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata teknologi berkenaan membolehkan pemeriksaan dilakukan secara terus di sisi pesakit, sekali gus membantu petugas perubatan memperoleh maklumat klinikal dengan lebih pantas.
Beliau berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan tidak hanya tertumpu di fasiliti kesihatan, sebaliknya dapat dibawa terus kepada komuniti.
“POCUS membolehkan petugas perubatan menjalankan pemeriksaan di sisi pesakit, memberikan maklumat klinikal secara langsung.
“Maklumat ini membolehkan petugas perubatan dan pesakit membuat penilaian yang lebih cepat dan lebih berinformasi bagi menyokong keputusan klinikal serta pengurusan pesakit,” katanya ketika berucap pada Program KHUAM KPT Prihatin MADANI 2026 di sini, hari ini.
Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Program KHUAM KPT Prihatin MADANI 2026 , hari ini. Foto Ahmad Nasrullah (TVS)Menurutnya, kehadiran pakar perubatan dari pelbagai kawasan di Malaysia membuktikan kekuatan ekosistem kesihatan negara, selain menunjukkan komitmen untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dapat mencapai masyarakat tanpa dibatasi faktor geografi.
Katanya, program berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada rawatan selepas masalah kesihatan berlaku, tetapi turut mengutamakan pendekatan preventif, proaktif dan berorientasikan komuniti.
“Untuk Sarawak, ini merupakan jenis inovasi perubatan yang harus kita terus kembangkan.
“Inovasi bukan hanya tentang peningkatan teknologi, tetapi inovasi yang mencipta nilai dan impak dalam kehidupan rakyat,” ujarnya.
Menurut Tiang, Sarawak memerlukan teknologi yang boleh dibawa ke lapangan, kepakaran yang boleh sampai kepada masyarakat serta perkhidmatan kesihatan yang mampu menjawab keperluan sebenar rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran sebenar pembangunan kesihatan negeri.
Katanya, Hospital Pengajar UNIMAS (HPU) mempunyai peranan penting dalam memperkukuh ekosistem kesihatan Sarawak menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi, latihan profesional dan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.
Beliau berkata kehadiran pakar perubatan dari seluruh Malaysia dalam program berkenaan menjadi bukti kekuatan ekosistem tersebut, yang menggabungkan ilmu, penyelidikan, kepakaran klinikal serta keupayaan membawa kepakaran ke lapangan. – TVS

2 hours ago
4








English (US) ·