ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan individu yang dinamakan sebagai ‘Mr H’, yang didakwa ada kaitan dengan video tular perbualan individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dengan seorang kakitangan J-KOM.
Tanpa mendedahkan identiti Mr H itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata individu tersebut dipanggil, selepas pihaknya menerima maklumat daripada Mohammad Agus ketika diambil keterangan semalam.
“Ada beberapa individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohammad Agus tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam bagi memberi keterangan kali kedua berhubung kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.
Ketika keterangan tersebut diambil, Mohammad Agus dilaporkan berkata telah mendedahkan identiti individu digelar ‘Mr H’, yang dikaitkan dengan kes berkenaan kepada polis dan turut membuat laporan terhadap pemilik akaun TikTok ‘Raja Petra’ susulan penularan satu video TikTok, yang mendedahkan maklumat peribadinya.
Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani digesa tampil bagi membantu siasatan kes video terbabit.
“Setakat ini tiada laporan polis berkaitan ancaman keselamatan dibuat oleh Wahab dan kita minta beliau tampil segera untuk membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu, Razarudin berkata pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung kebocoran salinan laporan polis Mohammad Agus yang tular di media sosial.
Beliau berkata siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. -Bernama