Program KASIH Remaja, “Kotex #SheCan Project” hapus stigma berkaitan haid

3 months ago 52
ADVERTISE HERE

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama dengan Kotex Malaysia untuk menangani stigma yang dikaitkan dengan haid dan memperkasakan remaja perempuan di seluruh Malaysia melalui program “KASIH Remaja: Sihat & Selamat” dan Kotex #SheCan Project.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata inisiatif tiga tahun itu bertujuan menyasarkan 600,000 remaja perempuan berusia 13 hingga 17 tahun dengan pendidikan kesihatan reproduktif dan kebersihan haid yang komprehensif, menghapuskan pantang larang dan memupuk kesejahteraan.

“Perkara ini bukan hanya soal sanitasi, tetapi juga tentang maruah, keyakinan dan potensi penuh mereka. Kami juga mengambil inisiatif untuk memperkasakan pelajar lelaki dengan pengetahuan dan kesedaran tentang isu haid dan kesihatan reproduktif.

“Ia langkah penting dalam membentuk generasi yang lebih berempati dan memahami,” katanya ketika melancarkan program “KASIH Remaja: Sihat & Selamat” dan Kotex #SheCan Project di sini hari ini.

Nancy berkata inisiatif itu disokong oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kementerian Pendidikan.

Modul pendidikan Kotex #SheCan Project akan menumpukan pada topik yang luas merangkumi akil baligh, sistem reproduktif dan hak terhadap tubuh badan.

Nancy berkata bahan pendidikan itu bersesuaian dengan budaya dan akan diedarkan bersama Kotex Confidence Kit, iaitu kit kebersihan haid terdiri daripada tuala wanita Kotex Soft and Smooth dan pelapik seluar dalam (pantyliner) tanpa wangian Kotex Daily Fresh.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan laporan Kajian Status Pengurusan Haid dalam Kalangan Pelajar Perempuan di Sekolah Menengah, sejumlah 9.9 peratus daripada 130,000 pelajar perempuan di seluruh negara mempunyai masalah untuk mendapatkan produk pengurusan haid.

“Kajian ini dijalankan tahun lepas oleh LPPKN, jadi sebab itu kita perlu jalankan program sebegini di seluruh negara dan kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk edarkan (bahan pendidikan berkaitan) di sekolah khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia Lim Yu Chien berkata menerusi Kotex #SheCan Project, syarikat itu juga menggalakkan perbualan terbuka mengenai menstruasi bagi mewujudkan masyarakat yang tiada stigma terhadap isu haid.

“Di Kotex, kami amat percaya bahawa Period or Not, She Can (haid atau tidak, anda boleh), bemakna setiap gadis berhak mengalami kitaran haidnya dengan yakin. Untuk berbuat demikian, seseorang itu perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan produk bagi menguruskan haid,“ katanya dalam ucapan beliau.

Terdahulu, sebanyak 1,000 pelajar sekolah menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dan Padawan menyertai program hari ini yang menyentuh pelbagai isu seperti pembelaan kanak-kanak, akta gangguan seksual dan kesihatan reproduktif. -Bernama

Read Entire Article