ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 27 Nov: Projek Bekalan Air Tanjung Manis telah berjaya membekalkan air ke Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya pada 2 Oktober 2023.
Menurut Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, projek merangkumi lapan pakej dan mampu membekalkan air mentah sehingga 50 juta liter sehari (JLH).
“Sejumlah 30 juta liter sehari (JLH) air mentah adalah untuk keperluan Loji Rawatan Air Tanjung Manis (Pakej 6).
“Manakala baki 20 juta liter sehari (JLH) air mentah lagi adalah untuk memenuhi keperluan industri di Tanjung Manis,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambah Julaihi, antara kawasan yang mendapat manfaat daripada siapnya projek bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Tanjung Manis adalah Pekan Tanjung Manis, Belawai, Jerijeh, Rejang, Serdeng dan Lapangan Terbang Tanjung Manis.
Selain daripada itu, ujarnya, Loji Rawatan Air Tanjung Manis juga akan menambah baik sistem bekalan air terawat di Pulau Bruit selepas siapnya projek “Proposed Water Supply to Pulau Bruit, Mukah Division”.
“Projek ini merangkumi pembinaan saluran paip sepanjang 62km, dua stesen pam penggalak dan empat tangki air aras tinggi dengan jumlah kapasiti 6.1 juta liter.
“Lokasi keempat-empat tangki aras tinggi tersebut terletak di Semop, Saai, Penibong dan Penipah.
“Setakat ini, kemajuan “Proposed Water Supply to Pulau Bruit” adalah pada tahap 82.36 peratus dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2024,” kata Julaihi. — DayakDaily