ADVERTISE HERE
LIMBANG, 28 Sept: Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) menjadi antara asas kepada peningkatan kemudahan asas, infrastruktur dan jaringan perhubungan luar bandar di Bahagian Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, RMK-8 bagi tempoh 2001 hingga 2005 memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan untuk meningkatkan kemudahan awam serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat.
Menurutnya, antara projek penting termasuk Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), jalan perhubungan luar bandar serta projek kemudahan komuniti dan sosial luar bandar yang kini dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
“Projek-projek ini diperjuangkan sejak tahun 2000, ketika RMK-8 dahulu, semasa saya masih di Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Projek jalan raya Ulu Lubai, SSLR, jalan Paya Lakap, Batu Danau dan Meritam, semuanya bukan cerita baharu kerana sudah dibuat dan dirancang dalam tempoh penyediaan pada tahun 2000 lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan meningkatkan kemudahan dan infrastruktur di Limbang, sekali gus menyediakan asas kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
“Pembangunan menerusi RMK-8 turut menjadi asas kepada kesinambungan projek dalam rancangan Malaysia seterusnya bagi memenuhi keperluan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya bersama wakil rakyat di Limbang akan terus memperjuangkan permohonan bagi projek pembangunan yang masih belum dapat dilaksanakan sebelum ini.
Pada majlis sama, seramai 110 penerima terdiri daripada pelbagai persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Melayu, Iban, Kelabit, Lun Bawang, Penan dan Tabun menerima geran kerajaan berjumlah keseluruhan RM371,000.-TVS

40 minutes ago
2








English (US) ·